Terlebih dahulu syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, maka kita dapat memulakan sesi pengajian baharu 2011/2012. Syukur Alhamdulilah kerana kita bersama-sama dalam Minggu Suai Mesra bagi tahun ini sempena menyambut kedatangan siswa/i baharu yang akan mendaftar untuk melanjutkan pelajaran di Universiti ini.
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah di atas kejayaan saudara dan saudari kerana berjaya dan terpilih untuk memasuki Universiti Malaysia Sabah. Ambillah ruang dan peluang ini dengan sebaik mungkin untuk menimba ilmu selama tiga, empat atau lima tahun di kampus ini. Saya percaya satu amanah dan tanggungjawab sudah terpikul di bahu saudara dan saudari sekalian kerana harapan keluarga untuk melihat segulung ijazah tanda kejayaan saudara saudari sekalian.
Saya selaku Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah sesi 2010/2011 mewakili seluruh saf kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar UMS mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan ucapan Maaf Zahir dan Batin.
Dalam masa yang sama, sempena bulan kemerdekaan negara kita yang tercinta yang ke-54 ini, saya mengucapkan selamat menyambut kemerdekaan buat semua mahasiswa/i Universiti Malaysia Sabah.
Marilah kita sama-sama menghayati makna sejarah kemerdekaan tanahair kita kerana sebagai generasi muda pada hari ini, tidak seharusnya melupakan darah dan keringat pejuang bangsa dalam menuntut kemerdekaan daripada penjajah. Saya kira tanggungjawab kita sangat berat pada hari ini iaitu untuk mengekalkan kemerdekaan tanahair tercinta.
Akhir sekali, saya mendoakan agar saudara dan saudari sekalian akan terus berjaya di Universiti Malaysia Sabah ini.
Ikhlas,
Khalil Bin Sabu
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Malaysia Sabah Sesi 2010/2011
No comments:
Post a Comment