TARIKH: 8 SEPTEMBER 2011
MASA: 1.30 – 5.30 PM
TEMPAT: DKP A1 (SPPS) & DKP A2 (SPiKS)
Program Bersama Sekolah yang berlangsung bagi dua sekolah iaitu Sekolah Pendidikan & Pembangunan Sosial (SPPS) dan Sekolah Psikologi & Kerja Sosial (SPiKS) masing-masing telah dimulakan dengan nyanyian lagu-lagu patriotik. Seterusnya, program diteruskan dengan ucapan yang disampaikan oleh Dekan sekolah masing-masing. Selain itu juga, Dekan SPPS dan SPiKS masing-masing ada menyelitkan serba sedikit mengenai sekolah masing-masing termasuklah kursus-kursus yang ditawarkan di sekolah tersebut kepada para pelajar baharu.
Program Bersama Sekolah ini telah dihadiri oleh mahasiswa dan mahasiswi baharu, para pensyarah dan kakitangan sekolah serta ahli jawatankuasa tertinggi Persatuan Mahasiswa Sekolah. Beberapa ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) turut kelihatan berada di dalam dewan kuliah untuk sama-sama mendengar ucapan serta taklimat yang disampaikan.
Satu sesi tayangan video turut diadakan di DKP A1 dimana tayangan video tersebut mengandungi ucapan selamat datang kepada pelajar baharu oleh semua kakitangan SPPS dengan tujuan untuk menyambut mahasiswa dan mahasiswi baharu. Bagi SPiKS pula, satu pembentangan yang mengandungi gambar beserta jawatan kesemua kakitangan sekolah telah disampaikan oleh Dekan SPiKS sendiri.
Setelah tamat Program Bersama Sekolah, kesemua pelajar baharu daripada sekolah masing-masing telah dibawa ke sekolah masing-masing dengan diiringi oleh kakitangan sekolah serta ahli jawatankuasa tertinggi Persatuan Mahasiswa Sekolah. Tujuannya adalah untuk meneruskan program bersama sekolah ini terus di sekolah sekaligus membantu pelajar baharu untuk mengenal kawasan sekolah dengan lebih dekat.